Jue Aziz
SEBUT sahaja Jue Aziz, pasti akan terbayang selebriti cantik yang manja perwatakannya di fikiran kita semua.
Mula dikenali melalui program Malaysia’s Most Beautiful, sebuah rancangan realiti yang bertujuan mencungkil ‘kecantikan dalaman’ para pesertanya, Jue turut pernah bergandingan dengan dua aktor tempatan sebagai pasangan kekasih suatu ketika dahulu.
Lantaran perkara tersebut, kisah percintaannya sering mendapat publisiti walaupun pada hakikatnya pemilik nama Zuliana Ab Aziz ini merupakan seorang aktres berbakat dan membintangi naskhah-naskhah lakonan antaranya drama bersiri Dua Hati, Manjalara, Impak
Maksima serta filem Hantu Bonceng.
Baru-baru ini, aktres jelita berusia 31 tahun ini membuat kejutan apabila mendirikan rumah tangga secara mengejut dengan seorang jejaka dari Indonesia, Bayu Daniels, gitaris kumpulan DV8.
Timbulkan desas-desus mengatakan Jue menyembunyikan pernikahannya apabila tiada hebahan yang dibuat melainkan gambar-gambar berserta kapsyen ucapan sempena Hari Ibu yang dimuat naik oleh suaminya di laman Instagram milik Bayu Daniels.
Tampil memberi penjelasan, Jue menyatakan dia tidak berniat untuk menyembunyikan perkahwinannya, cuma tidak berkesempatan mengumumkannya kerana segala-galanya berlangsung dengan sangat pantas.
“Saya tak sorok perkahwinan. Isu tu timbul bila saya tak hebohkan perkahwinan. Macam mana saya nak beritahu, cuba bayangkan, perkahwinan itu pun kami tak rancang.
“Saya bercuti di kampung Bayu bersama keluarganya. Ketika itu, Bayu pun cuti tak lama, dan perancangan karier saya pun masih panjang. Jadi kami fikir, apa kata kita terus kahwin di sini sahaja?
“Benda baik, kenapa nak lambatkan. Paling penting, kita cepatkan nikah sebab perkara tu yang menghalalkan perhubungan,” ujarnya.
Akui Jue, dia banyak belajar dari pengalaman cintanya yang lalu dan tidak ingin menghebahkan hubungan yang belum ada kepastian.
“Saya banyak belajar dari pengalaman lalu. Bercinta sana-sini sampai perkara tu yang selalu dapat publisiti.
Sebab tu kali ni saya buktikan pada diri saya, dah ada ikatan yang sah baru tunjukkan pada orang ramai,” katanya.
Justeru, bekas pengacara program e@9 dan Gedik Samba ini melangsungkan perkahwinan secepat mungkin setelah yakin dengan pilihan hatinya itu tanpa menginginkan hantaran mewah atau persiapan yang lama.
“Pernikahan saya memang ringkas, kami buat benda yang wajib di sisi Allah sahaja. Walaupun kami buat persiapan dalam tempoh yang amat singkat, syukur Alhamdulillah segala-galanya terasa cukup dan lengkap.
“Saya buat ikhlas kerana ALLAH, sampai suami saya tak percaya fasal hantaran pun saya tak berkira langsung. Saya tak kisah nak korbankan benda-benda lain bila dah dapat orang yang boleh bahagiakan saya,” katanya.
Bahagia bersama Bayu
Ketika ditemui selepas Majlis Pratonton Filem Hantu Nan Sempit di Mid Valley Megamall baru-baru ini, pemegang watak Suraya dalam filem tersebut kelihatan semakin cantik, apatah lagi ditemani oleh suami tercinta di sisinya.
Akui Jue, dia seronok hidup berumah tangga bersama Bayu yang menikahinya pada 9 Mac lalu.
Malah, aktres kelahiran Ampang, Selangor ini tidak menolak apabila orang mengatakan perkahwinannya menjadi punca dia kelihatan semakin cantik dan gembira.
“Memang saya sangat bahagia. Bagi saya inilah kecantikan semula jadi sebenar, iaitu apabila kegembiraan dan kebahagiaan kita terserlah melalui luaran. Semuanya datang daripada rumah tangga yang baharu saya bina ini.
“Selepas berkahwin, selama sebulan saya tak ambil apa-apa tawaran bekerja untuk luangkan masa bersama suami.
Tambahnya lagi, perkara paling menyeronokkan selepas berkahwin adalah menjalani kehidupan seperti orang biasa, bukannya selebriti.
“Saya rasa seronok dengan kehidupan normal yang ‘low profile’. Kadang-kadang suami ingatkan yang saya ni artis, tapi saya tak kisah. Saya seronok jalani kehidupan seperti orang lain tanpa memikirkan gelaran ‘selebriti’ itu,” katanya.
Tak jaja kisah cinta
Kelihatan seperti pasangan yang sedang hangat bercinta, Jue menyatakan itulah hikmah bercinta selepas kahwin.
“ Masa saya berkawan Bayu, kami bukan pasangan kekasih sebab saya bimbang tak dapat komited dalam perhubungan. Saya cuma cakap dengan dia, just go with the flow sebab saya ada tanggung jawab sendiri seperti anak angkat dan karier.
“Lepas kami semakin rapat, saya teman dia bercuti bersama keluarganya. Dari situ saya mengenali keluarganya dengan lebih dalam. Ibu bapa dia pun cakap, lagi cepat nikah lagi bagus. Jadi, kami pun langsungkan sahaja pernikahan kerana semuanya dah setuju dan baik-baik sahaja,” ujarnya.
Jue juga menganggap perkahwinannya sebagai suatu hikmah apabila lebih terhindar dari kontroversi atau dikaitkan dengan cerita-cerita masa lalunya.
“Alhamdulillah, kalau orang bandingkan saya dulu dan sekarang, mereka dapat lihat sekarang saya lebih banyak berdiam diri daripada bersifat terbuka tentang kisah cinta saya kepada umum.
“Saya nak gunakan bakat saya untuk dikenali, bukan cerita-cerita kontroversi untuk dapat publisiti. Itulah yang saya nak buktikan sebenarnya. Walaupun orang kata saya senyap atau tak nampak di media massa, tapi rezeki dan tawaran kerja itu sentiasa ada,” katanya.
Antara sifat Bayu yang paling disukai oleh Jue adalah sikap positif dan sangat menyokong kerjayanya.
“Suami sangat menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Sampai kadang-kadang saya sengaja usik dia dan tanya, tak cemburu ke? Tapi dia jawab tidak sebab dia faham kerja saya dan dia gembira tengok saya berjaya dalam karier.
“ Dia seperti kawan baik perempuan saya, yang saya boleh ceritakan segala-galanya. Dia tak ego dan sangat lemah-lembut, selalu tiupkan kata-kata positif pada saya.
“Paling saya suka, dia ringan tulang sampai kerja-kerja rumah pun rajin tolong. Kalau sesetengah lelaki agak susah nak tolong buat kerja rumah, tapi dia tidak!” ujar Jue sambil ketawa.
Tak sabar timang anak
Pasangan romantis ini merancang untuk menimang cahaya mata pada tahun hadapan kerana masih perlu mengadakan majlis resepsi bagi meraikan perkahwinan mereka dengan orang ramai.
“Tapi saya tak nafikan memang tak sabar nak timang anak sebab sebelum ni ada berlakon watak mengandung ,jadi mahu juga rasa pengalaman menjadi ibu yang sebenar!
“Saya tak kisah pun bersanding sambil mengandung. Tapi bila fikir balik, takut jadi isu lain di tambah pula dengan kesibukan suami yang terikat dengan kontrak sehingga hujung tahun ini. Jadi, InsyaALAH tahun depan kalau ada rezeki kami terima dengan hati yang gembira.
Jue bagaimanapun, merancang untuk memperlahankan kerjaya seni dalam industri hiburan untuk menjalankan perniagaan bersama suami.
“Sebenarnya saya nak perlahankan kerjaya seni dan uruskan perniagaan bersama suami. Abang ipar saya memang dah ada restoran dan bisnes makanan. Jadi, InsyaALLAH kalau suami dah habis kontrak kami akan fokus kepada perniagaan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, filem Hantu Nan Sempit yang dibintangi Jue sedang ditayangkan di pawagam kini.
Jue juga sudah selesai menjalani penggambaran drama Suamiku Ustaz, selain menunggu tayangan filem Kapsul yang berlatar belakangkan masyarakat Melayu pada zaman pendudukan Jepun.
Sinar Harian